Thursday, August 20, 2009
Thursday, August 6, 2009
Ikan Puyu Masak Lomak Cili Api
Bahan2:
-Ikan sungai (apo2 ikan pun buleh - Sebarau/terbul/masai/tenggalan/lampam) +- 4 ke 5 eko
-Cili api mesti mau ada (segonggam jadik la…hehehe) –Ditumbuk bersama2 garam
-Santan dari sebiji kelapo
-Daun kunyit (diracik halus2)
-Kunyit hidup (dalam seinci) - Ditumbuk
-Garam kasar
-Daun pisang (buat alas dalam kuali maso masak & tambah aroma)
-Sebiji Limau kasturi
Cecaranya..
Lapikkan daun pisang ke dalam kuali (ikut besar kuali). Masukkan semua bahan yang telah ditumbuk bersama ikan dan santan. Kacau jangan berenti sampai mendidih. Agak2 ikan dah empuk/masak tutup la api. Lepas tu perahkan jus limau bagi membangkitkan lagi aroma dan nafsu makan…hehehe. Makanlah dengan nasi panas2... Fuuhhh...bepoloh dahi...
Taaraaa!!! Dah siap.. Selamat mencuba…
Tenggiri Kuala Dulang, Yan, Kedah
PANGKALAN jeti nelayan di Kuala Dulang Kecil, Yan Kedah, sudah tidak asing lagi bagi ramai pemancing yang menggemari teknik casting (melontar umpan). Jika musim tenggiri mengamuk, kawasan tempat meletak kenderaan sesak di segenap ruang.
Seawal jam 6 pagi, jeti yang sempit mula menerima kunjungan pemancing yang bertali arus semata-mata ingin merasai amukan tenggiri. Jeti Kuala Dulang Kecil menempatkan bot nelayan kecil sesuai untuk dinaiki 4 hingga 6 pemancing tetapi kebanyakannya menggunakan enjin kuasa kuda besar.
Halim Ismail, 36, berasal Yan Kedah menjadikan Kuala Dulang sebagai tempat tumpuan kaki pancing dan nelayan. Penulis yang berkesempatan mencuba khidmat Halim baru-baru ini, puas hati dengan kerjasama yang diberikan walaupun dalam cuaca tidak menentu.
Tekong Halim cukup rajin dan sentiasa berusaha mendapatkan tenggiri untuk pelanggan. Setiap waktu digunakan sepenuhnya supaya usaha beliau menjadi inspirasi pelanggan untuk turut sama berusaha memancing. Menjerat tenggiri di sini memerlukan seseorang melakukan casting berterusan kerana spesies ini tidak memilih waktu untuk membedal umpan asalkan hidangan sentiasa berada di wilayahnya.
Jika musim memuncak, beliau keluar lebih tiga kali seminggu untuk memenuhi tuntutan pelanggan yang kebanyakan taksub dengan penangan dan kelincahan tenggiri merembat umpan. Malah ramai kumpulan pemancing mendapat habuan lebih besar apabila hasil tangkapan boleh mencecah ribuan ringgit untuk tempoh setengah hari memancing. Sebab itu, pemancing menggunakan sepenuhnya peluang yang ada selain puas memancing. Kos memancing ditampung dengan hasil jualan tenggiri yang mencecah RM16 sekilogram.
Bot Halim Dulang biasanya membawa pemancing ke lokasi tumpuan iaitu unjam buluh (tuas) dan lokasi kapal karam. Perjalanan ke sana memakan masa hampir 40 minit . Unjam itu yang diusahakan bersama rakannya dan akan ditambah tiga bulan sekali kerana ia hanya bertahan kurang empat bulan sebelum reput dan tenggelam sebagai tukun. Untuk ke kapal karam, akan mengambil masa hampir sejam.
Tenggiri di situ mudah diperdaya dengan teknik casting menggunakan umpan ikan pelaling mati. Ia dipasang dengan mata kail bersaiz 3/0 hingga 4/0. Seekor ikan umpan kebiasaannya dipasang tiga atau empat mata kail. Perambut kabel 30 paun perlu digunakan bagi mengelak putus digigit spesies bergigi tajam itu. Di hujung mata kail diikat ladung kecil dan pengilat kecil berwarna merah. Ladung bertujuan menenggelamkan umpan manakala pengilat merah akan berputar ketika dikarau. Warna merah dan kilat berperanan memikat tenggiri supaya menyambar umpan dengan rakus.
Selain umpan mati, umpan ikan hidup dari unjam juga lebih cepat memikat tenggiri. Selain itu, sotong plastik dan jig bulu ayam juga boleh digunakan ketika casting. Keterangan, hubungi Halim Tuas: 019-5577406.
Candat Sotong
Mencandat sotong kaedah tradisi yang tidak mengunakan cara moden. Didalam pasaran sekarang ada berbagai-bagai jenis candat dan jenama yang dibuat mengingkut keadaan semasa.
Ada berberapa nama candat yang biasa digunakan diantaranya ialah Candat Twist, Candat Udang, Candat Umpan, Candat Buntai dan beberapa jenis lagi. Alat candat adalah kail yang mempunyai sehingga sepuluh mata atau lebih yang dilekatkan pada timah dan dibaluti dengan kain yang berwarna warni, tetapi kini mata kail dihiasi umpan tiruan anak ikan atau udang plastik yang berkilat, berbanding alat candat tradisional yang dikenali sebagai candat twist. Kesesuaian candat dengan sotong yang hendak ditangkap juga perlu diambil kira. Disini kita tekankan dengan penangkapan /mencandat sotong torok, cumit-cumit, ketupat dan sotong jarum sahaja kerana cara mencandat sotong mengabang, sotong katak dan kurita ada sedikit perbezaannya.
MUSIM ATAU MASA YANG SESUAI
Setiap akhir Mac hingga Julai, ialah musim yang paling sesuai untuk menangkap/mencandat sotong kerana angin kencang musim tengkujuh timur laut di Laut China Selatan mulai reda, maka musim sotong mengawan dan bertelur akan bermula. Ini bermakna sotong-sotong yang jauh dari laut dalam mula berkunjung ke tempat-tempat tertentu untuk bertelur di sekitar perairan Terengganu terutama berhampiran Pulau Kapas, Pulau Bidong, Pulau Redang dan beberapa tempat lain. Apabila musim mencandat tiba, di sekitar perairan Kemaman, Paka, Dungun, Merchang, Marang, Kuala Terengganu, Batu Rakit dan Penarik bagaikan berpesta dengan kerlipan lampu kalimantang yang dipasang saban malam. Kehadiran lampu kalimantang yang berkerlipan itu bertujuan menarik perhatian sotong yang sedang mengawan di kawasan berkenaan untuk berkumpul dan bermain di sekitar kawasan yang diterangi cahaya lampu berkenaan. Kebiasaanya waktu mencandat sotong bermula senja dan berhenti apabila fajar menyingsing.
Rezeki akan bertambah kiranya seseorang yang menjumpai kawasan sotong bertelur, iaitu tempat berjuta-juta sotong berkumpul dan bertelur pada satu tempat. Tempat ini juga dikenali sebagai “Kandang Sotong”. Kandang sotong yang dihuni oleh berjuta-juta sotong ini tidak terdapat seekor ikan pun kerana tahap permakanan sotong ini terlalu egresif sehinggakan mereka memakan diantaranya (sama sendiri). Jika terdapat ikan pun ialah ikan tenggiri, tasik atau jerung yang berada diluar kawasan sekitarnya untuk memakan sotong itu. Di tempat begini candat twist yang paling efektif sekali, dengan kaedah appolo, candat diikat dua atau tiga pada mainline. Kebiasaanya candat yang diturunkan belum sampai ke dasar sudah ada sotong melekat pada candat.
Mencandat sotong biasanya jarang dilakukan apabila bulan mengambang penuh kerana ketika itu sotong bergerak bebas, ada juga yang mencandat pada waktu begini kerana ianya tidak memberi target yang tertentu seperti di tempat kandang sotong atau di sekitarnya. Adakalanya juga mendapat hasil yang lumayan. Bagaimanapun, sotong yang ditangkap pada bulan mengambang lebih besar saiznya berbanding yang ditangkap pada bulan gelap. Sebaliknya, saiz badan yang gemuk itu akan berubah menjadi panjang selepas bulan penuh. Dimasa bulan gelap lebih sesuai kerana lampu yang di pasang akan menarik perhatian sotong untuk mendekati cahaya.
Seorang pencandat yang mahir akan memasang tiga atau empat candat pada satu tali. Setiap seorang pencandat mampu memperolehi antara 200 hingga 300 kilo sotong semalaman jika mereka mencandat di kandang sotong.
JENIS CANDAT DAN CARA PENGUNAANNYA.
1.Candat Twist- candat twist biasanya dibuat daripada timah sebagai pemberat, ia juga dilekatkan matakail yang bersisir dibawahnya. Biasanya ia dilengkap dengan lapan atau lebih matakail yang berfungsi sebagai penyangkut sotong. Badannya dibaluti dengan kain yang biasanya berwarna putih/merah, putih/hijau dan putih/biru. Cara menggunakannya ialah memasukan terus dari tangkal candat ke cili yang diikat dari mainline. Tidak perlu mengunakan perambut. Apabila candat diturunkan, lakukan aksi menarik dan menghulur ke dalam air yang disuluh lampu kalimantang. Sotong akan tertarik dengan pergerakan candat yang disangka makanan dan menyambarnya. Ketika itu, terus menyentap tali dan sotong akan terlekat pada mata kail berkenaan. Candat twist sesuai untuk sotong torok, ketupat dan sotong jarum. Candat twist juga sesuai digunakan untuk sotong mengabang dan sotong katak apabila berada di kawasan unjam atau tukun sahaja.
2. Candat umpan – berbentuk panjang yang dibuat daripada besi sebesar lidi dan bersisir dengan matakail dibawahnya. Ia juga dilengkapi dengan lapan atau lebih matakail yang biasa dibuat sendiri. Ada juga candat ini yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan yang mempunyai dua sisir matakail tanpa mempunyai teracat. Cara mengunakannya ialah mencucuk ikan sebagai umpan. Ikan akan dicucuk dari ekor sehingga ke dalam mulut ikan itu dan disangkut mengunakan cili dari atas kepala memasuki lubang candat dan seterusnya disangkut sekali lagi memasuki bawah kepala ikan sebelum menuntup cili itu. Ada satu lagi kaedah dengan menggunakan dawai yang diikat daripada perambut dan dicucuk sama dengan kaedah menggunakan cili dan dibelit dawai tersebut sebagai pengikatnya. Seterusnya candat tadi boleh digunakan dengan batu hidup atau ranggung (samaada yang dibuat daripada tanduk atau tangsi yang bersaiz besar) yang memerlukan perambut antara tiga hingga lima meter panjang. Masa mengunakan candat umpan, kita digalakkan untuk melabuhkan dua atau tiga candat ini dengan kedalaman air, bermakna satu didasar, kedua ditengah-tengah air dan satu lagi berada di permuakaan air. Untuk permukaan air, pemberat tidak perlu digunakan dan seelok-eloknya menggunakan pelampung. Ikan tambang, selayang, dan ikan kacang sangat sesuai untuk dijadikan sebagai umpan. Saiz ikan hendaklah tidak melebihi panjang candat tersebut.
3.Candat Udang- Rasanya baru diperkenalkan atau diguna secara umun, berkemungkinan dalam tujuh tahun lepas(belum pasti). Candat ini sangat sesuai digunakan untuk mencandat sotong mengabang. Dengan bentuk yang solid dan dapat mengimbangi badan di dalam air memberi kelebihan candat ini menarik perhatian sotong. Cara mengguna hampir sama dengan candat umpan yang memerlukan ranggung untuk dihulurkan pada dasar. Kebiasaannya dua atau tiga kaki dari dasar laut.
Hukum sertai pertandingan memancing
Soalan:
SAYA gemar memancing dansering menyertai pertandingan memancing. Persoalannya, adakah menyertai pertandingan memancing yang menawarkan hadiah seperti RM5,000 bagi tempat pertama juga termasuk dalam judi?
Jawapan:
Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah dari pengajur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil dari sumber yang mana? Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan dari individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya haram. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini. Pertamanya kerana menyertai pertaruhan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebutadalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.
Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa: "Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman". (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).
Maisir atau perjudian telah diharamkan dengan nas yang qatie.Firman Allah yang bermaksud:
Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya)adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90)
Para mufassir di dalam memberi makna menegaskan bahawa, al-maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-qimar).
Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu,sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya).
Sedangkan Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.
Dalam pertandingan memancing atau sebagainya, ada unsur pertaruhan atau jika membabitkan hadiah atau pemberian.
Walaubagaimana pun tidaksemua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah (hadiah) yang dihalalkan oleh syarak.
Justeru, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:
1. Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).
2. Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihakyang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya: "Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku."
Maksudnya penganjur pertandingan memancing menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan.
Kedua-dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan hasil judi atau pertaruhan. Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding sama ada dalam bentuk yuran penyertaan, bayaran penyertaan atau sebagainya, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan syarak mengharamkannya.
Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:
1. Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.
2. Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
3. Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
4. Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
5. Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram. (Ahkam al-Musabaqat Fi asy-Syari'ah al-Islamiyyah, Abdus-Somat bin Muhammad Balhaji, Dar an-Nafais, Jordan (2004).