Asingkan ikan mudah pecah perut
PETUA Pak Nuri kali ini ingin berkongsi pengalaman cara mengekalkan kesegaran ikan supaya dapat bertahan lama sebelum dibawa pulang. Walaupun beberapa petua sudah dinyatakan sebelum ini tetapi masih ada ruang untuk diberi perhatian tambahan supaya dapat dimanfaatkan oleh semua pemancing sama ada ketika menjalankan aktiviti di laut, sungai, tasik, paya, lombong yang lokasinya pedalaman.
Ikan unjam daripada jenis tamban, selayang dan kembung adalah spesies ikan yang mudah pecah perut. Ini bermakna isinya tidak dapat bertahan lama walaupun disimpan dalam tong yang penuh dengan air batu.
Justeru, langkah untuk mengelak daripada berdepan dengan masalah itu satu langkah perlu dilakukan iaitu mengasingkan ikan unjam ke tempat lain yang tidak dicampurkan dengan ikan yang lebih besar. Malah ikan tamban dan kembung kecil yang pasti lebih cepat pecah perut tidak perlu disimpan kerana boleh menjejaskan kesegaran ikan lain. Bagaimanapun jika rasa sayang untuk dibuang, anda perlu menyimpannya dalam satu bekas khas.
Ikan kecil berkenaan bagaimanapun boleh dibawa pulang sekiranya spesies kecil itu dipancing pada hari terakhir sebelum pulang. Ikan tamban, selayang dan kembung boleh dapat bertahan sehingga tiba di jeti dengan memastikan ais mencukupi.
Ikan yang berjaya dibawa pulang ke jeti perlu diambil tindakan segera dengan menyimpannya dalam peti sejuk dan elakkan daripada terbiar lama di lantai bot dengan dipanah terik bahang matahari.
Selain daripada apa yang diterangkan, petua lain bagi menyokong kesegaran ikan pelagik itu ialah dengan membuang isi perut ikan dan membalut dengan kertas surat khabar. Ini adalah petua yang sangat baik dan ini sudah diterangkan sebelum ini dalam ruangan ini. Harus diingat, jangan sekali-kali membilas ikan yang disiang itu.
Dalam apa juga keperluan untuk menjaga kesegaran ikan sepanjang aktiviti memancing yang panjang terutama di laut, air batu biar lebih daripada mencukupi.
0 comments:
Post a Comment