Thursday, August 6, 2009

Pemancing perlu bekas umpan kecil sendiri

PETUA untuk memastikan ikan atau sotong umpan sentiasa berada dalam keadaan segar jika tidak diletakkan dalam keadaan hidup dalam satu tempat khas yang ada oksigen; tentunya bahan umpan itu dimasukkan dalam peti sejuk. Yang sebaik-baiknya peti sejuk itu tidak kerap atau sewenang-wenangnya dibuka bagi memastikan tahap sejuknya berterusan.

Langkah terbaik ialah pemancing boleh mengambil beberapa ekor sotong dan ikan (jenis selayang atau selar) dimasukkan dalam bekas umpan. Bekas yang sebaik-baiknya ialah yang kecil kerana saiz ini mampu mengekalkan tahap sejuknya.

Bekas umpan ini elok tidak dikongsi. Kerana cara ini juga boleh mengelakkan ketidakselesaan memancing terutama ketika hendak menukar umpan. Justeru, adalah baik untuk tidak mengganggu rakan pancing yang lain dengan memiliki bekas umpan sendiri. Cuma ais mestilah sentiasa berada pada tahap sejuk.

Satu perkara yang perlu diambil ingatan ialah umpan antara sotong dan ikan hendaklah diasingkan. Ini kerana kita tidak mahu kesan bau ini bersatu. Kelak ia akan menjejaskan minat spesies ikan karang di dasar laut.

Namun dalam apa juga keadaan, umpan paling baik dan digemari oleh semua spesies ikan ialah umpan hidup yang tentunya boleh dipancing dari unjam manakala sotong dicandat atau disauk pada waktu malam bulan gelap.

Umpan hidup seperti ini dijamin dapat memberi kejutan pada bila-bila masa saja apabila dilabuhkan. Namun begitu, harapan ini tidak semestinya menjadi kenyataan jika labuhan itu tidak mengena pada terumbu atau lubuk karang yang ada ikan. Untuk memastikan sasaran terbaik, sudah pastinya anda memerlukan alat pengesan.

Apa pun, langkah terbaik bagi mengekalkan tahap umpan sentiasa segar, peti sejuk hendaklah digunakan dan sotong atau ikan hendaklah dilambakkan dalam peti sejuk umpan dan kemudian ditutup dengan guni basah.

Oleh yang demikian, adalah baik jika pemancing mempunyai satu bekas umpan sendiri bagi menjimatkan masa memancing dan anda tidak berebut umpan. Cuma, anda tidak terlalu banyak mengambil umpan dari tong umpan utama. Kerana jika umpan diambil berulang kali dari tong utama, maka ini dibimbangi akan terjejas mutu dagingnya kerana tahap sejuknya tidak lagi maksimum.

Diharapkan petua kali ini menjadi dengan syarat setiap kaki pancing membawa tong kecil sendiri.

0 comments:

Disclaimer

All pictures in this blog are property of Cyber Anglers. Written permission are required for the use of any publishing material within this site.