Perut ikan perlu segera dibuang
KALANGAN ahli keluarga kaki pancing tentunya mengharapkan rezeki lumayan yang bakal dibawa oleh pemancing dari laut. Mereka pasti membayangkan ikan segar dan masih terasa manis untuk dijadikan lauk. Justeru, cara terbaik bagi pemancing ialah menyediakan tong air batu yang sempurna supaya rezeki tangkapan sentiasa segar ketika berada di laut dan selama tempoh perjalanan balik ke rumah.
Perkara ini tentu tidak menjadi masalah besar kerana tong ikan yang dibawa oleh setiap pemancing dapat menjamin kesegaran ikan melebihi tiga hari. Namun apa yang perlu diingatkan ialah ikan yang dibawa pulang tidak dapat bertahan lama dalam ais yang mudah bertukar menjadi air yang tidak dapat menjamin kesegaran ikan jika berada terlalu lama di laut.
Oleh sebab itu, sebaik saja anda tiba di rumah ikan terpaksa disiang dengan bersih, manakala ikan yang bersaiz besar anda boleh lakukan dua cara untuk menyiangnya. Pertama, anda perlu buang perut dan basuh dengan bersih. Perut adalah tempat paling sensitif bagi ikan yang dibawa dari laut atau sungai. Ia tidak dapat bertahan lama walaupun disimpan lama dalam peti ais.
Tempoh melebihi 48 jam akan menyebabkan perut ikan busuk dan proses itu meresap pada bahagian isi dan pastinya ikan berkenaan tidak segar lagi.
Langkah terbaik, anda mesti mengosongkan tong ais sebaik tiba di rumah. Kemudian ikan mesti segera disiang dan basuh dengan bersih lalu dibungkus dengan surat khabar dan simpan dalam peti ais bahagian pembeku.
Jangan amalkan menyimpan semula ikan yang sudah disiang dalam tong ais yang berisi air ais yang mencair walau pun tahap sejuknya dapat menyegarkan ikan.
Jika terpaksa membuat pilihan kedua atas sebab peti sejuk sudah penuh dengan ikan, anda perlu membeli ais ketul yang baru dan masukkan ais berkenaan dalam tong yang sudah dibersihkan. Kemudian masukkan ikan yang sudah disiang dalam tong berkenaan. Tutup dengan guni bersih di atas timbunan ikan sebelum menutup rapat tong berkenaan dan jangan dibuka lagi selepas itu, kecuali ada sebab tertentu.
Ini adalah petua terbaik bagi mengekalkan tahap kesegaran ikan supaya dapat bertahan lama melalui ketul ais yang padat dan bukan direndam dalam air yang sudah sejuk.
0 comments:
Post a Comment