RAMAI yang bertanya, apakah petua yang membolehkan kita mendapat ikan setiap kali turun memancing. Pada masa sama, petua itu boleh mengatasi rakan pancing yang lain.
Ada beberapa petua yang perlu diamalkan. Ini tidak ada kaitan dengan mengamalkan serapah jampi atau kepercayaan yang boleh memisahkan akidah sebenar yang dituntut oleh agama Islam. Kita kena berpegang pada kalam Allah - rezeki, jodoh pertemuan dan kematian di tangan Allah - dan berusaha itu satu kewajipan.
Justeru, petua memancing untuk mendapat ikan, kita kena tahu jenis umpan yang digemari oleh spesies ikan di sesuatu kawasan memancing, waktu ikan lapar dan memburu umpan. Arus air laut dan perambut panjang atau pendek turut memainkan peranan bagi menarik perhatian spesies ikan.
Lokasi tukun, lubuk atau karang yang sudah dikenal pasti ada dihuni ikan dan umpan yang terbaik seperti ikan atau udang hidup tentu berjaya menjinakkan ikan dengan teknik pancing dasar atau jigging.
Dalam soal ini, tidak ada amalan serapah jampi diguna pakai bagi menarik perhatian ikan. Namun apa yang berlaku di dasar laut ialah umpan terbaik saja yang akan diburu ikan. Anda perlu selalu menukar umpan sambil bermain tali supaya umpan yang terapung itu dapat menarik perhatian ikan yang berlegar-legar di dasar.
Usaha ini perlu dilakukan dengan sabar dan yakin walaupun kadang kala ada umpan pemancing yang tidak disentuh langsung oleh sebarang ikan dalam masa yang begitu panjang sedangkan rakan pancing di kiri kanannya sudah berjaya mendaratkan pelbagai spesies ikan.
Kerana terlalu kecewa, ada pemancing akan sering bertukar-tukar joran dengan rakan sebelah. Namun beliau tetap menerima nasib yang sama. Sedangkan rakan yang menggunakan joran yang berpindah tangan itu terus mendaratkan ikan seperti biasa.
Justeru, ini bukan salah joran atau umpan yang tidak kena. Umpan yang digunakan adalah sama dan kadang kala tekong sendiri yang memasangnya. Berakhir ekspedisi 24 jam atau 36 jam, pemancing itu menerima nasib kurang baik kerana tiada seekor ikan yang dapat dipancing.
Siapa yang salah dalam perkara ini? Kenapa ikan tidak mahu menyentuh umpan pemancing ini? Sedangkan ikan mungkin banyak di dasar dan meragut umpan yang sama digunakan oleh rakannya?
Dalam situasi begini, kita harus menerima hakikat bahawa mungkin ini satu dugaan Allah dan tentu ada hikmah di sebaliknya. Anda jangan sekali-kali menyalahkan diri sendiri atau lebih teruk anda menganggap diri anda seorang yang malang.
Ingatlah, Allah yang menentukan nasib anda dan rezeki yang bakal diperoleh kelak. Syaratnya anda kena bersabar dan sentiasa bersyukur.
MENYEDARI betapa sengsara dan sukarnya apabila mengalami mabuk darat yang berterusan untuk beberapa hari selepas balik daripada memancing di laut maka ramai pemancing muda yang baru mahu mengenal joran dan berjinak-jinak dengan ikan terpaksa berfikir lebih panjang sebelum turut sama melakukan ekspedisi memancing laut.
Mabuk darat bererti anda mengalami pening kepala (pening) apabila berada di darat. Anda akan terasa terhuyung-hayang dan tidak stabil ketika berdiri. Terasa dunia ini berputar dari atas ke bawah. Anda mungkin tidak mengalami muntah tetapi mengalami ketidakstabilan sesetengahnya sehingga beberapa hari.
Apa pun langkah terbaik untuk diamalkan oleh pemancing yang menghadapi mabuk darat yang serius ialah anda harus berehat di rumah dengan tidak berbaring untuk mengelak pening-pening yang berterusan.
Anda juga dinasihatkan supaya tidak mengosongkan perut. Anda juga perlu cuba membiasakan diri untuk berdiri selepas berehat beberapa jam. Cara ini membolehkan anda dapat mengimbang dari masa ke semasa. Cuma anda kena awas dan berhati-hati supaya tidak jatuh dalam bilik air atau kawasan berlantai batu yang ditakuti anda akan memberi kecederaan kepada bahagian kepala atau sendi.
Sebenarnya mabuk di darat selepas berada di laut adalah satu proses peralihan. Anda akan kembali pulih sebaik imbangan diri kembali stabil.
Anda kaki pancing yang mengalami mabuk darat ini tidak harus bimbang. Anda juga tidak perlu lemah semangat untuk terus beraksi sebagai seorang pemancing lasak seperti rakan anda sebelum ini.
Bagi Pak Nuri sendiri pernah mengalami mabuk begini dengan sebab yang kita sendiri tidak mengetahui puncanya. Cuma apa yang harus dititikberatkan ialah kawalan diri mesti diutamakan. Semangat ketahanan diri juga perlu diselaraskan supaya kekuatan itu dapat membantu anda lebih cekal melawan mabuk yang datang semasa anda di darat.
Jika semua usaha yang dilakukan tidak juga berjaya maka anda dinasihat supaya berjumpa doktor. Jangan sekali-kali mengambil sebarang langkah yang silap sehingga boleh membawa anda berdepan dengan keadaan lebih buruk.
Nasihat Pak Nuri ialah jangan paksa diri untuk tidak mabuk sama ada di laut atau berada di darat. Tetapi biasakan diri dengan mabuk dulu untuk membiasakan diri dengan laut.
KEPADA kaki pancing warga muda yang mempunyai darah panas, mereka boleh dikatakan jarang-jarang mengamalkan petua masyarakat tempatan terutama membabitkan soal keselamatan.
Justeru, kali ini Petua Pak Nuri masih berkisar kepada beberapa langkah yang perlu difikirkan sesuai sebelum keluar dari rumah untuk mencari rezeki di tengah laut atau hutan belantara, tasik mahupun di hulu sungai sebagai tempat mencari rezeki Allah.
Langkah pertama yang menjadi tanggungjawab pemancing sebelum meninggalkan rumah untuk memancing selama beberapa hari ialah menentukan keperluan barangan di dapur seperti beras, gula, susu anak dan keperluan harian mesti mencukupi.
Dengan cara demikian, Insya-Allah, Dia akan memberi rezeki yang dicari dengan berlipat-ganda. Tetapi jika anda meninggalkan rumah dalam keadaan serba-serbi barang dapur kekurangan sehingga menyusahkan keluarga yang ditinggalkan; atau paling tepat dalam keadaan menyusahkan keluarga atau jika beras tidak ada ataupun barang keperluan dapur kekurangan tentunya keadaan itu akan menyukarkan keluarga sendiri.
Justeru, langkah paling baik ialah anda perlu membereskan tanggungjawab ini sebelum melangkah keluar dari rumah.
Perkara lain yang perlu diambil kira sebelum keluar rumah ialah mengenai kesihatan keluarga. Jika ada anak yang sakit atau isteri kurang sihat mahupun ada jiran berada dalam keadaan tenat atau kematian maka kita harus membatalkan hasrat untuk keluar memancing atau menangguhkan kepada waktu lain supaya supaya pemergian kita akan dirahmati Allah.
Sebaliknya, ada sebahagian kaki pancing warga muda (tidak semua) tidak menitik beratkan petua ini kerana darah muda untuk turun memancing sudah terikat kukuh dalam diri mereka.
Kita tidak mahu sesal kemudian yang sudah pasti tidak berguna. Tentunya pemancing tidak mahu kehilangan orang dikasihi. Walaupun dengan membawa pulang dua tong besar ikan kelas A , tetapi jika berlaku peristiwa tidak diingini maka itu tidak akan memberi sebarang makna.
Perkara begini bukan saja satu petua yang patut dijadikan amalan tetapi kasih sayang kekeluargaan perlu diutamakan. Pada masa sama, semangat kejiranan perlu dipupuk setiap masa. Memancing adalah satu hobi atau satu kegemaran yang boleh ditangguhkan atau anda boleh terus membatalkan pemergian kerana ribut dan gelombang besar. Anggaplah perkara yang Pak Nuri sebutkan di atas sebagai 憆ibut dan gelombang besar yang menghalang kita daripada turun memancing.
Esok masih ada. Ribut dan gelombang akan pergi tetapi ikan tetap ada menanti.
RATA-RATA nelayan dulu mengamalkan petua dalam sebarang aktiviti di laut. Ini termasuk untuk membaca keadaan cuaca sebelum turun ribut atau gelombang besar atau tanda-tanda lain yang boleh mendatangkan bahaya pada keselamatan.
Namun, petanda atau gerak rasa kini sudah jarang diamalkan oleh generasi hari ini terutama pada nelayan muda atau tekong muda yang sudah bersedia dengan peralatan moden lagi canggih untuk mengesan lokasi dan menjangkakan cuaca yang bakal berlaku. Namun bahaya laut tidak ada undang-undang malah kesan peralatan moden juga tidak dapat menanganinya.
Ribut akan datang pada bila-bila masa saja walau dalam keadaan cuaca tenang. Justeru, pelaut sama ada di kalangan nelayan atau pemancing perlu sentiasa berhati-hati serta waspada pada setiap masa ketika berada di laut.
Petua Pak Nuri kali ini akan terus mengingatkan kepada semua kaki pancing supaya tidak menganggap laut sebagai tempat hiburan atau boleh dilakukan apa saja seperti di darat. Laut adalah tempat terlarang tetapi dapat mengajar kita jadi seorang manusia paling sabar dan bertanggungjawab.
Petua kali ini boleh dijadikan amalan jika berlaku sesuatu yang terdesak seperti pemancing mengalami luka ketika berada nun jauh di tengah laut. Rawatan perubatan pula tidak boleh dilakukan.
Maka anda boleh menggunakan tembakau rokok yang tentu ada di kalangan pemancing. Langkah pertama, keluarkan tembakau rokok itu dan rendamkan dalam air bersih (sedikit saja air digunakan). Kemudian perahkan tembakau itu hingga menjadi pekat. Sapukan air tembakau itu pada bahagian yang luka. Anda akan merasa pedih tetapi ia dapat memulihkan luka berkenaan, Insya-Allah.
Namun dalam apa jua keadaan, anda harus banyak berehat supaya keutuhan tubuh berada pada tahap maksimum. Juga, anda perlu memberi tumpuan pada aktiviti memancing buat sementara waktu. Tekanan perasaan ketika menahan sakit akan menjadi ketegangan yang tidak dapat dikawal, bakal mengundang anda lebih tertekan justeru kedua-dua ini tidak anda satukan demi kebaikan anda juga.
Satu lagi petua ialah mamah daun sirih yang dengan kapur, pinang dan gambir. Lalu airnya disapukan pada tempat luka atau bisul juga baik dilakukan sebelum seseorang mendapat rawatan di hospital atau klinik. Tetapi persoalannya pernahkah anda mencuba makan sirih?
Kepada pemancing di darat, andai anda tidak mempunyai tembakau atau daun sirih, cuba gunakan daun senduduk. Ambil beberapa helai daun pucuk senduduk. Baca selawat dan kunyah. Kemudian lumurkannya pada bahagian luka berkenaan. Insya-Allah darah akan berhenti.
Rata-rata mereka mendakwa tidak boleh terhidu bau air laut, bau lantai bot dan goyang bot walaupun sedikit. Ini sukar Pak Nuri hendak menjawabnya, kerana jika sudah begitu teruk menyeksa badan adalah baik batalkan saja niat untuk turun ke laut kerana tentunya anda bakal berdepan dengan ribut dan gelombang besar. Sekiranya anda masih berminat untuk menjadi seorang pengail sambil menanam azam bahawa anda juga boleh memancing seperti orang lain.
Jika begitu kuat azam dan semangat anda untuk terus meneroka laut, langkah terbaik yang harus anda lakukan ialah amalkan petua seperti yang telah Pak Nuri muatkan dalam halaman ini beberapa bulan yang lalu dan elakkan dari terus bergantung kepada ubat mabuk, kerana ubat mabuk yang dibeli di farmasi atau kedai ubat lain membuatkan anda akan tidur yang tentunya tidur sehingga tidak sedarkan diri.
Jika ini terjadi tentunya cita-cita dan hasrat anda untuk memancing akan lenyap bersama dengan tidur anda. Bagi mereka yang sudah berkali-kali turun memancing ke laut tapi masih mabuk dan muntah walaupun keadaan laut terlalu baik, air laut tenang bagaikan di tasik, tidak bergelombang, jika ada pun cuma anak gelombang saja yang bermain, justeru nasihat Pak Nuri anda kena banyak minum air mineral berselang dengan makan makanan masam dan biarkan dalam mulut anda barang di kunyah.
Petua yang Pak Nuri dapati daripada sahabat pemancing juga menceritakan air halia pekat juga boleh menahan mabuk terutama kerana terlalu lama di lambung gelombang. Ada juga sesetengah pemancing minum kopi O kosong pekat sebelum naik bot.
Perut jangan dibiarkan kosong dan tidak terlalu kenyang, sambil itu jika melakukan potongan isi ikan atau sotong yang sudah berbau anda hendaklah cepat membasuh tangan dan keringkan dengan kain bersih supaya baunya tidak berkesan pada hidung anda dan satu perkara lagi yang perlu anda jauhi ialah jika membetulkan tali apollo atau perambut yang kusut jangan sekali-kali anda tunduk terlalu lama, adalah lebih baik anda simpan atau menukarkan pada yang baru.
Lakukan petua ini dan cuba elak tidak terlalu bergantung pada pil mabuk, kerana anda boleh mengubahnya dengan kekuatan semangat dan daya tahan dalaman
ADA petua yang mengatakan - rezeki pertama yang didapati pada setiap kali aktiviti memancing sangat berkat terutama kepada kaki pancing sama ada di laut mahu pun di darat.
Petua kali ini memfokuskan kepada pemancing di laut. Justeru, ingatlah apabila kita mendapat ikan pertama sebaik saja mulakan aktiviti memancing maka itu adalah rezeki dari Allah dan tidak harus dibuang semula ke laut jika ikan itu sangat kecil atau spesies ikan yang tidak berguna.
Pendapat dan pandangan beberapa orang nelayan veteran yang ditemui mengakui bahawa rezeki pertama itu jika dibuang semula ke laut atau tasik mahu pun sungai ertinya kita tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah sedangkan kita mencari rezeki lumayan buat keluarga.
Pernah berlaku nelayan pulang dengan tangan kosong kerana dikatakan membuang ikan pertama yang tersangat kecil yang dinaikkan dan selepas itu beliau tidak dapat seekor ikan pun hingga pulang.
“Bagaimanapun ini tidak harus diletakkan sepenuh kepercayaan, kerana rezeki datangnya dari Allah. Justeru, Allah yang menentukan sama ada kita bernasib baik atau sebaliknya selepas memperoleh tangkapan pertama itu.
“Cuma logiknya rezeki yang diberi itu kita kena mensyukuri dan tidak membuangnya semula,” kata Tok Ayub seorang nelayan veteran dari Kesang Laut, Melaka.
Pernah berlaku peristiwa begini kepada seorang pemancing laut di perairan Pulau Jarak yang mendakwa beliau tidak memperoleh seekor ikan pun sepanjang ekspedisi tiga hari dua malam kerana membuang anak ikan kerapu pada tangkapan pertama.
Namun beliau tidak langsung mengaitkan bahawa perkara itu menyebabkan beliau tidak bernasib baik. Cuma ada kemungkinan hari itu bukan harinya.
Apa pun bagi Pak Nuri, rezeki yang datang dari Allah adalah pasti dan sebaliknya cuma terpanggil mengisi logik dan kebenaran yang nyata bahawa sebarang rezeki yang diberi Allah sama ada baik atau tidak kita kena menerimanya dengan ikhlas.
Bagi Pak Nuri, langkah terbaik dan mensyukuri nikmat rezeki yang diberi Allah walau sekecil mana sekali pun kita kena menerima dengan ikhlas dan tidak membuangnya semula ke laut bagi pemancing yang memancing di laut malah adalah baik sebarang tangkapan pertama itu diambil sebagai rezeki berkat dari Allah.
PETUA Pak Nuri kali ini ingin berkongsi pengalaman cara mengekalkan kesegaran ikan supaya dapat bertahan lama sebelum dibawa pulang. Walaupun beberapa petua sudah dinyatakan sebelum ini tetapi masih ada ruang untuk diberi perhatian tambahan supaya dapat dimanfaatkan oleh semua pemancing sama ada ketika menjalankan aktiviti di laut, sungai, tasik, paya, lombong yang lokasinya pedalaman.
Ikan unjam daripada jenis tamban, selayang dan kembung adalah spesies ikan yang mudah pecah perut. Ini bermakna isinya tidak dapat bertahan lama walaupun disimpan dalam tong yang penuh dengan air batu.
Justeru, langkah untuk mengelak daripada berdepan dengan masalah itu satu langkah perlu dilakukan iaitu mengasingkan ikan unjam ke tempat lain yang tidak dicampurkan dengan ikan yang lebih besar. Malah ikan tamban dan kembung kecil yang pasti lebih cepat pecah perut tidak perlu disimpan kerana boleh menjejaskan kesegaran ikan lain. Bagaimanapun jika rasa sayang untuk dibuang, anda perlu menyimpannya dalam satu bekas khas.
Ikan kecil berkenaan bagaimanapun boleh dibawa pulang sekiranya spesies kecil itu dipancing pada hari terakhir sebelum pulang. Ikan tamban, selayang dan kembung boleh dapat bertahan sehingga tiba di jeti dengan memastikan ais mencukupi.
Ikan yang berjaya dibawa pulang ke jeti perlu diambil tindakan segera dengan menyimpannya dalam peti sejuk dan elakkan daripada terbiar lama di lantai bot dengan dipanah terik bahang matahari.
Selain daripada apa yang diterangkan, petua lain bagi menyokong kesegaran ikan pelagik itu ialah dengan membuang isi perut ikan dan membalut dengan kertas surat khabar. Ini adalah petua yang sangat baik dan ini sudah diterangkan sebelum ini dalam ruangan ini. Harus diingat, jangan sekali-kali membilas ikan yang disiang itu.
Dalam apa juga keperluan untuk menjaga kesegaran ikan sepanjang aktiviti memancing yang panjang terutama di laut, air batu biar lebih daripada mencukupi.
KALANGAN ahli keluarga kaki pancing tentunya mengharapkan rezeki lumayan yang bakal dibawa oleh pemancing dari laut. Mereka pasti membayangkan ikan segar dan masih terasa manis untuk dijadikan lauk. Justeru, cara terbaik bagi pemancing ialah menyediakan tong air batu yang sempurna supaya rezeki tangkapan sentiasa segar ketika berada di laut dan selama tempoh perjalanan balik ke rumah.
Perkara ini tentu tidak menjadi masalah besar kerana tong ikan yang dibawa oleh setiap pemancing dapat menjamin kesegaran ikan melebihi tiga hari. Namun apa yang perlu diingatkan ialah ikan yang dibawa pulang tidak dapat bertahan lama dalam ais yang mudah bertukar menjadi air yang tidak dapat menjamin kesegaran ikan jika berada terlalu lama di laut.
Oleh sebab itu, sebaik saja anda tiba di rumah ikan terpaksa disiang dengan bersih, manakala ikan yang bersaiz besar anda boleh lakukan dua cara untuk menyiangnya. Pertama, anda perlu buang perut dan basuh dengan bersih. Perut adalah tempat paling sensitif bagi ikan yang dibawa dari laut atau sungai. Ia tidak dapat bertahan lama walaupun disimpan lama dalam peti ais.
Tempoh melebihi 48 jam akan menyebabkan perut ikan busuk dan proses itu meresap pada bahagian isi dan pastinya ikan berkenaan tidak segar lagi.
Langkah terbaik, anda mesti mengosongkan tong ais sebaik tiba di rumah. Kemudian ikan mesti segera disiang dan basuh dengan bersih lalu dibungkus dengan surat khabar dan simpan dalam peti ais bahagian pembeku.
Jangan amalkan menyimpan semula ikan yang sudah disiang dalam tong ais yang berisi air ais yang mencair walau pun tahap sejuknya dapat menyegarkan ikan.
Jika terpaksa membuat pilihan kedua atas sebab peti sejuk sudah penuh dengan ikan, anda perlu membeli ais ketul yang baru dan masukkan ais berkenaan dalam tong yang sudah dibersihkan. Kemudian masukkan ikan yang sudah disiang dalam tong berkenaan. Tutup dengan guni bersih di atas timbunan ikan sebelum menutup rapat tong berkenaan dan jangan dibuka lagi selepas itu, kecuali ada sebab tertentu.
Ini adalah petua terbaik bagi mengekalkan tahap kesegaran ikan supaya dapat bertahan lama melalui ketul ais yang padat dan bukan direndam dalam air yang sudah sejuk.
SENGAJA mendedahkan diri pada bahang panas matahari dan hujan lebat atau berembun pada waktu malam adalah perkara yang perlu dielak semasa memancing di kolam, sungai atau tasik lebih lagi di laut.
Panas terik akan mengundang kurang selesa dan bahang panas akan mengeringkan kulit kepala dan tubuh badan sekali gus tekak akan kering dan dahaga yang berterusan. Sebaik-baik langkah berjaga, pemancing kena cari tempat berteduh atau menggunakan topi lebar di kepala seperti kaum cina memakainya semasa bekerja di kebun sayur.
Menutup seluruh badan dengan kain lembut dan boleh menyerap peluh adalah langkah paling baik tapi ini tidak harus di biasakan, kerana mungkin kulit badan kita tidak dapat bertahan dan ia akan menjadi ruam kulit atau bertanda seperti panau, lagi berbahaya jika membiarkan baju yang basah itu kering di badan.
Adalah menjadi harapan Pak Nuri supaya panas terik dan hujan lebat dapat dielakkan tapi banyakan minum air panas sejuk dan tidak membiarkan perut kosong kerana dibimbangkan perut masuk angin. Andainya jika ini berlaku anda akan berdepan dalam satu keadaan paling rumit kerana rawatan tidak seperti di darat, namun apa pun keadaan jika penyakit ini tidak berkurang langkah terbaik ialah membawa mangsa pulang.
Mengingati satu peristiwa yang dipetik dari cerita seorang kawan pancing dari Kahang Keluang Johor, terdedah pada bahang panas matahari yang panjang seorang pemancing jatuh pitam tidak sedarkan diri dan akhirnya meninggal dunia dalam perjalanan pulang ke jeti.
Daripada peristiwa ini dapat dijadikan satu iktibar bahawa kita tidak harus mendedahkan diri pada bahang panas matahari atau hujan lebat dianggap membantu segarkan badan tapi sangkaan itu tidak dapat memberi janji yang tepat, justeru langkah terbaik kita tidak melakukan perkara yang boleh melibatkan diri kita kepada keburukan.
Jangan jadikan panas terik dan hujan lebat sebagai permainan atau sengaja untuk menarik perhatikan kawan-kawan pancing bahawa akulah jaguh tapi sebenarnya tindakan itu sesuatu yang memerangkap diri sebagai seorang yang paling bodoh.
Kadang-kadang petua yang kurang diyakini tapi menjadi, malah tidak kurang yang tidak menjadi walaupun diyakini. Allah lebih berkuasa daripada semua kekuasaan yang diciptaNya justeru kepadaNya saja untuk kita meminta atas jalan kebaikan.
PETUA – MABUK LAUT ( Samada benar atau tidak kita perlu mencuba terlebih dahulu dan jika mahu mencuba saya sarankan agar berselawat terlebih dahulu. Jika masih mabuk gunakan teknologi terkini dengan menelan pil penahan mabuk dan jika masih gagal, dinasihatkan jangan kelaut. Memancing sahaja di sungai dan tasik – anda pasti tidak mabuk)
* Ini rasional – mengikut pakar perubatan. GINJAL dibelakang telinga memainkan fungsi penting dalam menseimbangkan tubuh badan. Digalakkan mengurut ginjal dibelakang telinga terutama bila mula merasa pening. Menggerakkan kepala ke kiri dan kanan selain melakukan senaman ringan mampu menghilangkan rasa mabuk laut.
* Bagi nelayan, MINUM AIR LAUT dikuala mampu menahan diri daripada mabuk laut. Boleh diminum hingga ‘sendawa’ dan boleh juga sedikit sahaja kerana ini boleh menahan tekak dari merasa loya.
* Syor nelayan dan TLDM, agar orang yang mabuk laut, TERJUN DAN MANDI LAUT tapi mesti pandai berenang. Dengan menyelam beberapa ketika badan dan kepala akan menjadi segar semula.
* OREN SUNKIST juga berguna. Ada orang kata,limau tak boleh dibawa kelaut, takut ribut. Kita hanya perlu bawa kulit Oren Sunkist saja. Kalau boleh kunyah kulit Oren berkenaan sepanjang berada di laut. Kalau tak sanggup, kunyahlah sebelum perjalanan dan jika terasa loya semula, kita kena kunyah lagi.
* Cuba makan KELEDEK MENTAH. Rasionalnya mudah, keledek mentah mempunyai sedikit getah yang boleh membuat mulut kita tidak rasa loya.
* Makan PISANG KELAT. Rasionalnya sama seperti keledek. Untuk lebih mujarab, titiskan sedikit air limau sebelum memakannya.
* Selit kan SAYUR KANGKUNG dipinggang atau poket.Pastikan ia tidak jatuh sepanjang kita memancing.
* Tumbuk LADA HITAM yang dicampur dengan HALIA BARA, kemudian sapu diperut terutama bahagian pusat sebelum ke laut.
* Sebelum memancing , jangan minum minuman yang BERKRIM ATAU BERSUSU. Seeloknya bawa AIR OREN sebagai minuman semasa memancing.
RAMAI pemancing masih tidak mengetahui tembakau yang diadun secara tradisi untuk dihisap bersama rokok daun nipah terutama tekong bot mempunyai khasiat yang berguna terutama untuk perubatan alternatif sebelum mendapat ubat yang betul atau dihantar ke hospital.
Pernah berlaku kepada pemancing di Pantai Timur yang kehabisan ubat setelah mereka terluka kena mata kail menyebabkan banyak darah keluar. Tekong yang secara kebetulan menghisap rokok tembakau tradisional mengambil sedikit tembakau yang diadun secara tradisi dan dibasahkan dengan air.
Selepas itu tembakau berkenaan ditampal pada mata luka dan dibalut dengan kain bersih. Dalam masa kurang daripada setengah jam darah yang mengalir dari mata luka berhenti serta merta dan sejam lepas itu pemancing dapat meneruskan aktiviti seperti biasa.
Kepada tekong atau nelayan tradisi mereka memang selalu membawa tembakau, jika tidak menghisap pun mereka akan simpan untuk dijadikan ubat. Getah tembakau yang kelat boleh dijadikan ubat untuk menahan darah atau untuk sengatan binatang biasa kecil seperti lipan atau kala jengking.
Disebabkan hari ini teknologi perubatan sudah semakin maju cara tradisional hampir dilupakan. bagaimanapun kepada nelayan tempatan mereka masih mengekalkan perubatan alternatif dengan membawa daun sireh, tembakau, cuka, bawang putih sebagai pengganti ubat jika terkena musibah.
Untuk itu kepada pemancing yang sering ke laut walaupun mempunyai ubat yang mencukupi perubatan tradisi perlu disediakan kerana ia boleh dijadikan satu cara perubatan sementara untuk mendapat khidmat perubatan moden.
KETIKA rasa ghairah membuat persediaan turun memancing, ramai kaki pancing lupa kepada beberapa petua yang perlu diamalkan seperti menyediakan ubat-ubatan menahan bisa, sakit perut, pening kepala atau sakit gigi serta disengat binatang bisa.
Keperluan ini sangat penting untuk dibawa bersama sama ada secara kumpulan atau individu walaupun keperluan berkenaan ada disediakan dalam bot atau kotak ubat, namun langkah berjaga-jaga perlu dilakukan kerana ada kemungkinan tekong atau ketua kumpulan terlepas pandang mengenai ubat yang perlu dibawa dalam setiap kotak atau beg pemancing.
Pernah berlaku pada satu trip memancing laut dalam apabila seorang pemancing terkena sengat ikan pari.
Sebagai langkah bantuan untuk menahan bisa, tekong bergegas membuka kotak ubat yang tersedia tetapi semua ubat yang diperlukan sudah kehabisan.
Keadaan menjadi kelam kabut dan mencemaskan. Bagaimanapun seorang daripada pemancing lain dalam kumpulan berkenaan bertindak memicit bahagian yang terkena sengat untuk mengeluarkan bisa dan kemudian menumbuk halia bersama bawang putih lalu dilumurkan pada tempat luka yang terkena sengat itu.
Langkah ini dapat mengurangkan rasa sakit kerana panas halia bercampur bawang putih dapat melawan sakit. Bagaimanapun ia perlu dirawat terlebih dulu.
Daripada peristiwa yang berlaku langkah terbaik suiaya kita semua tidak mudah panik, tetapi perlu memberikan kerjasama dan cepat memberi bantuan.
Kepada tekong berpengalaman, mereka tetap mempunyai beberapa jenis rempah ratus selain untuk masak sekurang-kurangnya sebagai pilihan kedua apabila ubat yang diperlukan tertinggal atau kehabisan.
Peranan halia dan bawang putih amat penting kerana kepercayaan masyarakat Cina dua rempah berkenaan dapat membuang angin dalam badan dan dapat menyedut biasa jika terkena sengat binatang atau ikan berbisa.
CUACA banyak memainkan peranan penting dalam sebarang aktiviti sukan dan riadah. Begitu juga dengan aktiviti memancing, cuaca tetap menjadi sebahagian daripada fenomena yang penting terutama ketika berada di tengah laut dan jauh dari pulau dan tanah besar.
Pernah berlaku beberapa peristiwa semasa satu kumpulan pemancing muda melakukan ekspedisi memancing di laut berhampiran perairan Pulau Bidong Terengganu, beberapa tahun lalu.
Menurut cerita Pak Wan Dollah, tekong veteran yang kini sudah berusia 88 tahun dan tidak lagi turun ke laut tapi masih dapat mengingati kumpulan yang tidak mengindahkan larangan atau petua ketika memancing ketika berlaku kilat sabung menyabung.
Jika berlaku sebarang suasana sedemikian pemancing tidak digalakkan mendedahkan diri di tempat lapang yang terbuka atau tidak memegang joran atau memegang batang besi kerana ia mudah disambar petir.
Menurut Pak Wan Dollah, ketika membawa rombongan pemancing beliau menasihatkan kaki pancing supaya patuh kepada petua seperti yang dinyatakan di atas tapi petua itu langsung tidak diendahkan sebilangan pemancing yang terdiri daripada lapan orang anak muda.
Dalam suasana cuaca yang berubah dengan tiba-tiba angin kencang bertiup berserta guruh dan kilat, gelombang besar mula mengubah ganas di laut yang tadinya tenang.
Pak Wan Dollah mengarahkan kaki pancing supaya beredar masuk ke kabin dan tidak mendedahkan diri bagaikan mencabar kilat yang mula memanah beberapa kaki pancing yang degil itu.
Suasana menjadi kelam kabut kerana tiga pemancing pengsan apabila joran pancing mereka disambar kilat. Pak Wan Dolah terpaksa melakukan rawatan daripada pengalamannya yang luas dalam menghadapi situa si begitu.
Rakan pancing lain menginsafi kedegilan setelah melihat rakan mereka yang dan tidak langsung mahu mendengar nasihat tekong atau mengamalkan petua yang baik itu.
Justeru nasihat Pak Nuri perlu elakkan diri daripada mencabar kilat dengan mendedahkan diri kepada keadaan sedemikian. Berhentikan sebarang aktiviti memancing semasa guruh dan kilat sabung menyabung.
Berlindung di tempat yang selamat serta berzikir untuk kebaikkan semua.
InsyaAllah Tuhan akan mengingati kepada orang yang ingat kepadanya.
SESAT sering berlaku semasa mencari jalan keluar dari lokasi memancing di terutama lombong tinggal atau tasik dalam hutan, namun pengalaman seorang bekas sarjan komando tentera darat, dapat dijadikan petua untuk diamalkan bersama kaki pancing.
Petuanya mudah, lakukan menakik pokok pada permulaan kita masuk ke hutan dengan meletak ranting pokok yang ditajamkan bahagian hujung menghala ke lokasi. Tanda berkenaan perlu dibuat setiap 5 atau enam meter sehingga sampai di lokasi.
Semasa pulang ikut jalan yang dilalui dengan menjadikan tanda sebagai panduan. Cara begini anda pasti tidak akan sesat namun perlu berhati-hati kadang-kadang timbul kekeliruan disebabkan hilang atau salah tunjuk.
Jika timbul kekeliruan anda jangan penik dan hentikan perjalanan bagi mengelakkan terus sesat. Teruskan mencari tanda jangan berpecah jika dalam kumpulan kerana berpecah itu akan mengundang masalah yang lebih buruk.
Ini pernah berlaku dalam kumpulan pemancing yang hilang arah untuk pulang lalu berpecah dua kumpulan untuk mencari arah pulang dengan mencari ranting pokok yang dipatahkan, bagaimanapun kedua-duanya akhirnya jauh meninggalkan jalan mula yang ditanda.
Akhir dua kumpulan berkenaan hilang antara satu sama lain hingga bermalam dalam hutan tebal. Mereka akhirnya di selamatkan oleh satu lagi kumpulan pemancing yang mengunakan jalan yang sama tidak jauh dari tempat kedua-dua kumpulan yang sesat itu.
Berpandu kepada peristiwa ini Pak Nuri syorkan supaya arah tuju mesti ditanda semasa melalui hutan tebal atau lorong dalam hutan. Jangan sekali-kali berpisah jauh daripada tanda yang sudah dibuat. Petua ini mesti di amalkan.
DALAM dunia nelayan ada banyak pantang larang yang kadangkala tidak dapat diikuti dengan teratur, namun daripada beberapa aspek yang lojik perlu diamalkan terutama petua yang mendatangkan kebaikan.
Nelayan terdahulu yang mengamalkan petua dan pantang larang seperti tidak membawa pulut kuning, telur, daging mentah, bertih sering dikaitkan sebagai makanan syaitan di laut, hari ini pantang larang itu tidak diendahkan oleh pemancing dan tekong bot sendiri. "Kita yang nak makan, bukan nak jamu orang atau makhluk lain," itu yang diperkatakan oleh mereka dan rata-rata menolak dakwaan ribut yang datang itu bukan daripada petua yang salah.
Apa pun ada baiknya diterjemahkan semula petua yang boleh diamalkan seperti bersiul pada waktu malam, menjerit-jerit, mulut lantang yang tidak bertapis cakap, mencabar untuk berentap dengan ikan sebesar kapal atau mengunakan ilmu hitam yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Lebih daripada itu mereka sanggup mengunakan kain kapan orang mati yang diambil dari kubur yang baru di kebumikan, tali orang mati digantung malah banyak lagi perkara yang salah di gunakan. Ini bukan saja mengundang dosa tapi akan berdepan dengan bahaya di laut yang bukan sedikit. Petua atau amalan begini tidak boleh dipakai sama sekali. Sebaliknya melangkah turun dari rumah dengan mengingati Allah adalah sebaik-baik amalan dan meludah di laut segera dihentikan kerana laut tempat kita mencari rezeki yang perlu dihormati.
Rezeki yang kita ambil dari tempat berludah adalah satu perbuatan jijik malah dijadikan makanan untuk keluarga. Justeru adalah lebih baik supaya kita tidak meludah di laut sesuka hati, berludah saja dalam plastik atau tidak membuang benda-benda kotor di laut.